KUALA LUMPUR: Human Resource Development Corporation (HRD Corp) berjaya mengumpul levi berjumlah RM2.2 bilion tahun lepas berbanding RM1.81 bilion pada tahun sebelumnya.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, jumlah kutipan levi itu merupakan rekod terbaik sejak penubuhan HRD Corp pada 1993.

Katanya, HRD Corp turut mencatatkan rekod terbaik dalam meluluskan geran bantuan kewangan sebanyak RM1.78 bilion dan lebih daripada 2.2 juta tempat latihan tahun lepas.

"Sebagai perbandingan, HRD Corp mengutip levi sebanyak RM1.81 bilion, meluluskan lebih RM728 juta tuntutan dana latihan dan meluluskan 1.15 juta tempat latihan pada 2022," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina HRD Corp bagi tahun 2024, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia komited menyediakan program latihan berkualiti kepada semua rakyat Malaysia untuk meningkatkan produktiviti dan ekonomi negara.

"Ini selaras dengan fokus 3K kami, untuk meningkatkan Kebajikan, Kemahiran, dan Keberhasilan dalam kalangan pekerja Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mengamanahkan HRD Corp untuk menyediakan program latihan kepada semua lapisan masyarakat, khususnya usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta individu di kawasan luar bandar, bagi memastikan tiada yang terlepas peluang mendapatkan latihan dan pembangunan. - BERNAMA